Jauh tidak mengapa, asalkan…
Julai 26, 2007

Jauh tidak mengapa, asalkan kita berada di jalan yang benar.
Ini adalah satu realiti apabila berkata tentang kejayaan kewangan.
Apabila saya berkata tentang kejayaan kewangan, apakah yang anda fikirkan?
Adakah kejayaan kewangan itu berjaya tinggal di rumah banglo besar tepi pantai dan berkereta Mercedes siri terkini?
Adakah kejayaan kewangan itu adalah mempunyai kerjaya dengan gaji 5 angka setiap bulan?
Adakah kejayaan kewangan itu adalah mempunyai wang simpanan sebanyak RM1 juta ringgit?
Ingatlah wang itu adalah sesuatu yang bergerak sifatnya. Nilainya hanya akan dirasai apabila ia berpindah, berkembang, ataupun, yang kita tidak mahu.. berkurang. Walaupun kita mempunyai wang simpanan RM1 juta, tetapi apabila tiada perkembangan berlaku, lama kelamaan ia akan berkurang, dan mungkin juga, hilang. Meskipun betapa berjimatnya kita lambat laun, pasti akan hilang jua, kerana kita masih memerlukan keperluan harian seperti makanan, api, air, dan tentunya kita memerlukan wang untuk itu semua.
Gaji besar, rumah besar dan kereta besar tidak berguna, sekiranya ia hanya mendatangkan hutang-hutang yang belum tentu kita dapat membayarnya.
Berbalik kepada topik kita pada hari ini, mari kita lihat kepada 2 contoh: Kak Miah dan Aziz..
Kak Miah adalah seorang pelayan di sebuah kedai makan. Dia tidak mahu terus-menerus hidup susah, dan tidak mahu anak-anaknya hidup dalam serba kekurangan. Kak Miah baru sahaja ditinggalkan suami. Tidak pernah dia bekerja sebelum ini, tetapi dia tidak jadikan itu alasan untuk tidak bekerja. Walaupun gajinya kecil, dia gagahkan diri untuk bekerja, memberi anak-anaknya makan dengan sempurna dan menabung sedikit untuk keperluan masa hadapan. Kak Miah mengajar anak-anaknya untuk berjimat cermat agar setiap bulan, perbelanjaan mereka cukup untuk kesemuanya. Kak Miah sangat suka melihat tuan tempat kedainya bekerja, lantas dia menyimpan duit, dan menyimpan azam mahu mempunyai perniagaannya sendiri. Kata Kak Miah dalam hati, “Mula-mula kecil-kecilan, lama-lama aku akan ada sebesar kedai ini!”
Aziz ialah seorang lepasan universiti. Sejurus sahaja dia habis belajar, dia mendapat pekerjaan sebagai seorang eksekutif di sebuah bank terkemuka di Kuala Lumpur. Setiap bulan gajinya mencecah RM2000, lebih tinggi dari kawan-kawannya di kampung. Baru sebulan bekerja, Aziz sudah pun membeli kereta 2nd-hand dua pintu yang sudah lama diidam-idamkan. Masuk bulan kedua, Aziz pun membeli set TV 32 inci dengan set hi-fi yang berkualiti tinggi, menggunakan kemudahan ansuran “0% interest”. Saban malam, dia keluar makan dengan teman istimewanya di tempat-tempat istimewa. Hujung minggu, Aziz dan pasangannya sudah tentu membeli-belah dan menonton wayang. Akibat sikap yang kurang beringat, Aziz kerap kesempitan wang di setiap hujung bulan. Akan tetapi, Aziz buat-buat tidak kisah, kerana katanya, “Kad kredit kan ada!!”
Dari dua cerita di atas siapakah yang lebih hampir kepada kejayaan kewangan. Kak Miah, pelayan di kedai makan, ataupun Aziz, eksekutif bank terkemuka yang juga merupakan graduan universiti?
Bincangkan..
Nurulwahida ialah seorang eksekutif IT yang bekerja di sebuah syarikat minyak global, dan kini sedang menetap di Miri, Sarawak.
Ogos 7, 2008 at 9:34 pm
semestinya kak miah..!! (mentang2 kak miah tu dr nama emak saya – Salmiah)