Hadiah Tahun Baru Kedua!

Januari 5, 2008

Hadiah kedua untuk tahun 2008!

Rangkaian ke laman kewangan islamik!

http://www.iplanner.org/

http://www.zaharuddin.net

Ustaz Zaharuddin juga telah menulis buku – Wang, Islam dan Anda
Salam ukhuwwah

Advertisements

Salam Kembali!

Januari 3, 2008

Selamat tengahari dan selamat kembali kepada anda, dan saya ke blog ini.

Sudah lama saya tidak menjengah ke blog ini. Masih belum terlalu lewatkan, untuk saya katakan, selamat tahun baru!

2008 akan menjadi tahun yang hebat untuk saya! Pada malam tahun baru saya berkenalan dengan seorang rakan 23 tahun yang telah mahir tentang saham, pernah mempunyai rumah di Tropicana, mempunyai apartmen sendiri dan ada menyewakan rumahnya yang lain! Dia juga melabur dengan RHB untuk tanaman kelapa sawit! Mampu memiliki jam Tag Hueuer!

Banyak yang saya tidak ketahui bila dibandingkan dengannya, tetapi ia membuka peluang untuk belajar banyak ilmu daripadanya. Semoga Allah membuka jalan kepada saya untuk mempelajari dan menjadi hartawan.

Saya dan Sha juga sekarang banyak berbincang tentang insurans, takaful, pelaburan.

Alhamdulillah pelaburan saya di Public Mutual mencatat keuntungan 17%. Citibank juga menawarkan suatu produk yang sangat istimewa, dan hanya terhad kepada pelangan terpilih.

Sebagai hadiah tahun baru, di sini saya memberikan sedikit rangkaian yang menolong kita untuk meningkatkan ilmu tentang kewangan:

http://www.bicarajutawan.com

http://investopedia.com/

http://www.enaku.com/

http://www.panduansaham.com/

Betapa pemurahnya Allah, begitu besarnya dunia, begitu banyak rezeki yang diberikan Allah kepada penghuninya, masih banyak lagi yang boleh dikongsikan bersama.

 Sehingga berjumpa lagi.. Assalamualaikum dan semoga berjaya dalam perjalanan kewangan anda. InsyaAllah.

Buka Hati, Buka Minda

Ogos 1, 2007

Merah Hati

 Apabila berkata tentang kejayaan kewangan, setiap orang mempunyai definisi yang berbeza.

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, wang adalah sesuatu yang bergerak sifatnya. Seharusnya dalam mencapai kejayaan kewangan, kita harus mengambil kira aliran masuk dan aliran keluar wang. Pada masa ini seringkali kejayaan kewangan dikaitkan dengan “financial freedom”, ataupun kebebasan kewangan.

Apakah itu kebebasan kewangan?

Kebebasan kewangan adalah apabila kita dapat melepaskan pekerjaan normal kita, akan tetapi tidak menjejaskan wang aliran masuk, dan dapat pula menampung wang aliran keluar. Tidak bekerja tetapi masih ada gaji, mungkinkah?

Pekerjaan normal seperti CEO, eksekutif, doktor, peguam akan melahirkan pendapatan aktif, yakni, selagi mana kita bekerja, selagi itulah wang aliran masuk akan ada. Tetapi apabila kita berhenti membuatnya, maka tiadalah gaji diterima, bermaksud, tiadalah wang aliran masuk.

Manakala kebebasan kewangan dicapai apabila pendapatan pasif sudah cukup untuk menampung kehidupan anda setiap bulan secara tetap. Pendapatan pasif, ataupun dikenali sebagai “after-burner” di dalam buku Azizi Ali dijana melalui usaha yang minima tetapi dapat menghasilkan pendapatan berterusan. Berapakah pendapatan pasif yang diperlukan untuk benar-benar mencapai kejayaan kewangan? Soalan sebegitu, tepuk dada, tanya iman.

Idea-idea membina pendapatan pasif

Mengikut Robert Kiyosaki, terdapat 4 cara untuk membina pendapatan pasif, iaitu:
1. Dividen/ Faedah (dari saham, saham amanah, dsb)
2. Sewaan
3. Perniagaan
4. Royalti

Dari 4 cara di atas, ada yang berkata, kesemuanya memerlukan modal yang besar sebagai permulaan. Benarkah begitu. Tiadakah cara untuk memulakannya dengan modal yang kecil?

Buka hati, buka minda, anda mungkin bertemu dengan jawapannya…

Jauh perjalanan luas pemandangan

Jauh tidak mengapa, asalkan kita berada di jalan yang benar.

 Ini adalah satu realiti apabila berkata tentang kejayaan kewangan.

Apabila saya berkata tentang kejayaan kewangan, apakah yang anda fikirkan?

Adakah kejayaan kewangan itu berjaya tinggal di rumah banglo besar tepi pantai dan berkereta Mercedes siri terkini?

Adakah kejayaan kewangan itu adalah mempunyai kerjaya dengan gaji 5 angka setiap bulan?

Adakah kejayaan kewangan itu adalah mempunyai wang simpanan sebanyak RM1 juta ringgit?

Ingatlah wang itu adalah sesuatu yang bergerak sifatnya. Nilainya hanya akan dirasai apabila ia berpindah, berkembang, ataupun, yang kita tidak mahu.. berkurang. Walaupun kita mempunyai wang simpanan RM1 juta, tetapi apabila tiada perkembangan berlaku, lama kelamaan ia akan berkurang, dan mungkin juga, hilang. Meskipun betapa berjimatnya kita lambat laun, pasti akan hilang jua, kerana kita masih memerlukan keperluan harian seperti makanan, api, air, dan tentunya kita memerlukan wang untuk itu semua.

Gaji besar, rumah besar dan kereta besar tidak berguna, sekiranya ia hanya mendatangkan hutang-hutang yang belum tentu kita dapat membayarnya.

Berbalik kepada topik kita pada hari ini, mari kita lihat kepada 2 contoh: Kak Miah dan Aziz..

Kak Miah adalah seorang pelayan di sebuah kedai makan. Dia tidak mahu terus-menerus hidup susah, dan tidak mahu anak-anaknya hidup dalam serba kekurangan. Kak Miah baru sahaja ditinggalkan suami. Tidak pernah dia bekerja sebelum ini, tetapi dia tidak jadikan itu alasan untuk tidak bekerja. Walaupun gajinya kecil, dia gagahkan diri untuk bekerja, memberi anak-anaknya makan dengan sempurna dan menabung sedikit untuk keperluan masa hadapan. Kak Miah mengajar anak-anaknya untuk berjimat cermat agar setiap bulan, perbelanjaan mereka cukup untuk kesemuanya. Kak Miah sangat suka melihat tuan tempat kedainya bekerja, lantas dia menyimpan duit, dan menyimpan azam mahu mempunyai perniagaannya sendiri. Kata Kak Miah dalam hati, “Mula-mula kecil-kecilan, lama-lama aku akan ada sebesar kedai ini!”

Aziz ialah seorang lepasan universiti. Sejurus sahaja dia habis belajar, dia mendapat pekerjaan sebagai seorang eksekutif di sebuah bank terkemuka di Kuala Lumpur. Setiap bulan gajinya mencecah RM2000, lebih tinggi dari kawan-kawannya di kampung. Baru sebulan bekerja, Aziz sudah pun membeli kereta 2nd-hand dua pintu yang sudah lama diidam-idamkan. Masuk bulan kedua, Aziz pun membeli set TV 32 inci dengan set hi-fi yang berkualiti tinggi, menggunakan kemudahan ansuran “0% interest”. Saban malam, dia keluar makan dengan teman istimewanya di tempat-tempat istimewa. Hujung minggu, Aziz dan pasangannya sudah tentu membeli-belah dan menonton wayang. Akibat sikap yang kurang beringat, Aziz kerap kesempitan wang di setiap hujung bulan. Akan tetapi, Aziz buat-buat tidak kisah, kerana katanya, “Kad kredit kan ada!!”

 Dari dua cerita di atas siapakah yang lebih hampir kepada kejayaan kewangan. Kak Miah, pelayan di kedai makan, ataupun Aziz, eksekutif bank terkemuka yang juga merupakan graduan universiti?

 Bincangkan..

Post Pertama!!

Julai 21, 2007

Anak Kecil

 Selamat datang dan selamat pagi kepada semua!

Ini adalah post pertama saya di Bijak Duit! Diharap semua sudi membaca dan berkongsi pendapat tentang apa yang hendak saya bincangkan.

Sudah lama saya menginginkan blog sendiri untuk berbincang tentang duit. Kesilapan saya sebelum ini, sibuk membina laman, tambah feature sana sini, tweaking.. tapi akhirnya terlalu letih untuk menulis. Akhirnya page dahulu yang saya mahu bina terbiar begitu sahaja. Kali ini saya akan buat dengan cara yang berbeza, menulis – dan hanya selepas itu sibuk untuk tweak sana sini.

Sekiranya anda mahu tahu blog ini tentang apa, sila rujuk kepada page Nurulwahida di sini. Terima kasih kepada Cha, Sha dan Bibah di atas permainan Smart Money game, kerana dari situlah timbul minat untuk berkongsi semula apa yang saya tahu tentang wang.  Apa itu Smart Money game? Mungkin saya akan berbincang mengenainya satu hari nanti..

Terima kasih juga ke atas Munaliza kerana penulisan anda tentang topik yang sama juga telah menguatkan semangat saya untuk menulis semula tentang wang.

 Terima kasih!

Diharap anda “enjoy” di sini!